Dari Arab Saudi ke Malaysia

Alhamdulillah, selamat sampai ke Malaysia akhirnya setelah 48 hari di negara Arab Saudi. Lama betul tak masuk ke dashboard blog sendiri ni. Ambik masa juga nak dapatkan mood blogging semula. Penyakit biasa mana-mana blogger yang tinggalkan blog sendiri dalam masa yang lebih lama daripada biasa eheh.

21 November lepas saya dan isteri selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dalam cuaca mendung yang hari-hari sebelumnya dikatakan hujan tak berhenti langsung, alhamdulillah. Pagi semalam sampailah ke hari ni barulah mula hujan balik. Kat depan rumah ni dah banjir dah. Kampung sendiri pun tak dapat balik lagi setakat ni, takut kereta tersangkut dalam air banjir. Tempat kalian macam mana? Teringat peristiwa banjir yang menimpa rumah sahabat blogger kita, AlongV6 beberapa bulan dulu. Macam mana keadaan rumah dia sekarang ni agaknya.

Pengalaman di Masjidil Haram

Imbas balik pengalaman di Madinah dan Makkah, banyak cerita yang suka saya nak kongsikan dengan kalian semua. Tengok dulu macam mana. Kena buat draft elok-elok dulu sebelum publish. Ada perkara yang tak elok diceritakan kepada umum, dikhuatiri ada orang yang akan pandang negatif pada Tanah Suci Makkah. Nak cerita kena hati-hati.  Nama pun Tanah Suci, jadi kenalah menjaga kesuciannya. InsyaAllah ada masa nanti saya akan kongsikan serba sedikit. Sebelum terbang ke Tanah Haram hari tu terlintas juga nak buat buku ala-ala travelog ataupun autobiografi. Harapnya dapat disiapkan sebelum musim haji tahun depan, amin.

Jemaah Hebat

Betul kata orang, bila berkumpul dalam satu kumpulan jemaah haji langsung tak kenal siapa sebenarnya rakan-rakan jemaah kita. Semuanya dipandang sama taraf walaupun ada di kalangan jemaah berpangkat Tan Seri dan Dato’. Boleh berbual macam biasa dengan golongan-golongan ni, tak perlu nak segan-segan. Dato’ tak Dato’ semuanya hanya memakai dua helai kain ihram.

Paling best bila saya ditakdirkan sebilik dengan seorang lelaki yang pernah keluar tv kerana satu kes yang agak besar beberapa bulan dulu. Kalau saya sebut namanya atau kes yang dimaksudkan, sebahagian besar daripada kalian mesti kenal beliau. Paling tak pun pernah terbaca atau terdengar tentang kes yang dimaksudkan tu. Tapi jangan nak speku pula. Beliau bukanlah orang yang bersalah, cuma salah seorang suspek utama kes terbabit.

Ada juga di kalangan jemaah yang sangat low profile orangnya. Sekali lihat seperti orang biasa, tapi hakikatnya beliau adalah seorang yang sangat hebat dalam bidangnya dengan pendapatan kasar USD24,000 sebulan. Sebulan ye, bukan setahun. Terkejut saya bila dapat tau gaji beliau. Di Madinah kami duduk sebilik. Kemudian ditakdirkan bersama lagi semasa di khemah Arafah dan Mina. Banyak masa saya luangkan bersama beliau. Berborak-borak tentang pengalaman kerja beliau di luar negara dari zaman bujangnya hinggalah sekarang memang melekakan sampai pukul 12 malam pun tak tidur lagi. Biasanya pukul 9:30 malam dah tidur dah sebab pukul 3:30 pagi dah mula bangun untuk solat Subuh.

Pengalaman Manis

Berkunjung ke Baitullah dah dikira pengalaman cukup manis dah tapi di samping pengalaman manis tu ada pengalaman lain mungkin sampai bila-bila pun tak dapat saya lupakan. Antaranya pengalaman duduk menunggu di tempat pembuangan sampah sementara menunggu tempat tidur disediakan di khemah Mina. Malangnya sampai ke sudah tak ada tempat tidur, semua dah penuh. Masing-masing dah tidur berhimpit-himpit. Akhirnya rakan jemaah yang gajinya USD24,000 sebulan tadi ajak saya tidur di khemah stor makanan. Faham-fahamlah sejuknya macam mana kalau namanya dah stor makanan. Tapi cerita tak habis kat situ, sekitar 9:45 pagi keesokannya kami diarahkan keluar oleh orang Arab (mungkin petugas di Mina) kerana mengganggu laluan pekerja dapur untuk mengambil bahan-bahan makanan.

Sedih bila terkenangkan nasib kami hari tu tapi kami redha jelah. Mungkin ada hikmahnya. Nak buat haji ni fikiran kena selalu positif. Banyak merungut nanti makin banyak masalah pula yang datang. Kisah saya tak ada tempat tidur ni ada lagi sambungan ceritanya. InsyaAllah saya akan cerita dalam entri yang lain.

Reunion

18 Disember nanti ada reunion sesama rakan-rakan jemaah haji. Kalaulah tak banjir macam sekarang ni bolehlah join reunion tu nanti kat Masjid Bukit Aman. Teringin nak jumpa balik rakan-rakan jemaah yang rata-ratanya berpangkat mak ayah saya dah. Tapi yang bestnya boleh bergaul macam rakan sedarjah je. Mesra rasanya bila pangkat dan usia bukan jadi ukuran. Panggilan pun sama semua, panggil Ji je, singkatan bagi Haji. Saya panggil diorang Ji, diorang pun panggil saya Ji hehe. Dapat kumpul semula ramai-ramai nanti mesti seronok. Boleh kenang balik pengalaman pahit manis terutamanya semasa berada di Makkah. Itu pun kalau ramai yang dapat join, insyaAllah.

27 thoughts on “Dari Arab Saudi ke Malaysia

    • insyaAllah sy akan kongsikan pengalaman sy nanti. cuma buat masa ni tak dapat nak karang cerita, diari sy ada dlm bagasi. bagasi lak kat KL lagi. ingat minggu depan baru nak g ambik

    • a’a..USD24k. dia pernah dpt offer USD30k sebulan tapi dia tolak. dulu dia engineer, tapi sekarang ni cuma buat consulting kat oversea. 2 bulan keje, 2 minggu cuti.

  1. wahh.. mesti banyak pengalaman dpt dan kejadian ke mekah tu..amirez nak tanya pasal rewars redeem point Cash RM20 Menangi hadiah bulanan RM20 tu.. sebab point aku dah cukup…aku dah email kat email kau…dpt duit rm20 ke..tq

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge