Kerja Kerajaan Atau Swasta

kerja-kerajaan

Tengah hari kelmarin saya singgah di satu kedai cuci kereta sekitar Kota Bharu. Entah kenapa kedai cuci kereta itu berjaya menarik perhatian saya untuk singgah mencuci kereta saya yang sudah melekat dengan tahi cicak di atas bumbung. Sedangkan saya boleh ke kedai cuci kereta yang biasa saya pergi berhampiran dengan rumah. Kerling ke arah jam di radio, pukul 12:45 tengah hari.

“Sempat agaknya nak ke Masjid Telipot,” bisik hati saya.

Saya berhentikan kereta di tengah-tengah kawasan mencuci. Kelihatan dua orang sedang mengelap kereta Myvi hitam dengan penuh cermat. Kemudian seorang yang berpangkat abang menghampiri saya. Wajahnya saling tidak tumpah seperti Piya, ketua pasukan The Red Warriors, cuma sedikit bongkok.

“Abe boleh letak kereta kat situ. Nak siapkan kereta ni kejap,” Kata lelaki seakan Piya dengan rendah diri.

Walaupun dia tahu saya lebih muda daripadanya, tetapi dengan memanggil saya sebagai abe (abang) menunjukkan rasa hormatnya terhadap pelanggan. Cara ini berkesan untuk menarik hati pelanggan seperti saya.

Saya duduk di atas sofa lama yang disediakan sambil membelek surat khabar Sinar Harian yang sudah saya baca di pusat servis kereta pagi itu. Sepuluh minit kemudian lelaki berwajah Piya tadi memandu kereta saya ke kawasan mencuci. Dalam masa sama kereta Myvi hitam tadi dialih tempatnya ke kawasan ‘siap’ oleh seorang lagi pekerja yang berpangkat ayah saya. Saya bahasakan dia dengan nama Pakcik. Pakcik itu kemudiannya menghampiri saya lalu duduk di hadapan.

“Tuan kereta Myvi tu kerja kat seberang jalan. Petang karang baru datang ambil.” Pakcik itu mulakan perbualan.

“Berdua saja ke?” Tanya saya. Pakcik itu mula menyalakan sebatang rokok.

“Ada sorang lagi, belum sampai.” Jawabnya ringkas.

Kami berbual agak lama sementara menunggu kereta saya siap dicuci. Rupa-rupanya Pakcik itu hanya datang menolong anaknya yang sedang mencuci kereta saya seorang diri. Sekadar menghilangkan rasa bosan di rumah. Tiada apa yang hendak dibuat selepas pencen sebagai seorang anggota polis. Persoalan saya awal tadi terjawab. Sangat jarang seorang lelaki yang sudah pencen bekerja sebagai pencuci kereta yang memerlukan kudrat tinggi.

Kerja Kerajaan atau Swasta?

Perbualan kami bermula dengan sesi suai kenal secara ringkas. Kemudian beralih kepada topik kereta. Pakcik itu menunjukkan kereta Honda CRX tahun 1993 miliknya yang diparkir di satu sudut. Masih cantik. Boleh tahan juga taste pakcik ini.

kerja-kerajaan

“Enjin pun ‘cantik’ lagi,” katanya.

“Biasalah, Honda.” Saya menambah. Pakcik itu mengiyakan.

Teringat pula kereta Honda Accord tahun 1985 milik arwah ayah saya di kampung yang masih lagi elok hingga sekarang.

Topik kereta kemudian dilanjutkan pula kepada soal kerja.

Diringkaskan cerita, pakcik itu menceritakan perihal seorang anaknya semasa memohon kerja kerajaan di Putrajaya. Walaupun mempunyai kelayakan yang bagus, tetapi mungkin bukan rezeki anaknya bekerja di Putrajaya. Jawatan yang dipohon diberikan kepada saudara terdekat seorang Menteri.

Dipendekkan cerita lagi, anak pakcik itu berjaya mendapat kerja sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat swasta. Gajinya sekarang mencecah RM6,000 sebulan. Simpanan untuk usia tua tidak perlu risau. Wang simpangan KWSP anaknya jauh lebih tinggi daripada yang diperolehi daripada kerja kerajaan di Putrajaya. Cuma dari segi kemudahan kewangan tidak dapat menandingi kelebihan yang ada pada pekerja di sektor kerajaan. Itu hakikatnya, kata pakcik sambil menghembuskan asap rokok.

“Kerja kerajaan banyak berhutang. Pakcik tahu sebab dulu pakcik kerja kerajaan.” Sambung pakcik sambil tersenyum sinis.

Saya memandang ke lantai memikirkan ada betulnya juga apa yang dikatakan pakcik itu. Dek kerana banyaknya kemudahan yang diberikan kepada pekerja-pekerja kerajaan mendorong mereka untuk ‘beramal’ dengan hutang. Kemudahan yang diberi oleh kerajaan ini sebenarnya adalah satu kelebihan. Tetapi yang menjadi masalahnya adalah sikap individu itu sendiri yang selesa dengan hidup berhutang. Sedangkan hutang itu perlu dielak, melainkan ianya menjadi keperluan seperti membeli kenderaan dan rumah.

Sering kali saya disuruh oleh saudara-mara yang sudah lanjut usianya untuk mencari kerja dalam sektor kerajaan. Bukan tidak berminat dengan kerja kerajaan. Saya mempunyai pandangan peribadi sendiri mengapa kerja swasta lebih baik. Tetapi pada hakikatnya rezeki itu tidak mengira sama ada swasta ataupun kerajaan. Allah itu Ar-Razzaq (Maha Pemberi Rezeki). Setiap orang telah ditentukan rezekinya dan di mana khidmatnya lebih diperlukan.

Kerja Kerajaan Lebih Terjamin

Ada kalanya susah untuk mengubah mentaliti masyarakat kita, khususnya Melayu. Dari dulu hingga sekarang kita ditanam dengan pemikiran bahawa kerja kerajaan lebih terjamin masa depan.

Kenyataan seperti ini selalu membuatkan saya tergelak dalam hati. Seolah-olah kita meletakkan rezeki itu datangnya daripada manusia iaitu pihak kerajaan berbanding daripada Pencipta rezeki itu sendiri.

Siapa yang sebenarnya dapat berikan jaminan untuk masa depan?

Kenyataan ini tidak seharusnya terpacul dari mulut seorang Muslim. Memang betul, dari segi kestabilan ekonomi tidak dapat dinafikan kerja kerajaan lebih baik. Tetapi perkataan stabil itu sendiri tidak menjamin keberkatan dalam kerja. Hakikatnya diri pekerja itu sendiri yang perlu mendapatkan berkat dalam bekerja. Hal yang sama juga bagi pekerja sektor swasta.

Jika ditanya kepada saya, kerja kerajaan atau swasta bukanlah persoalannya. Apa yang penting adalah halal. Dikuatkan lagi dengan berkat. Itu sebaik-baiknya. Namun berapa ramai yang mampu mendapat berkat dalam bekerja? Sekadar berpesan dan mengingatkan kepada diri saya sendiri.

Kereta saya yang tadinya disembur dengan air bertekanan tinggi sudahpun dibawa ke bahagian kering untuk dilap.

“Maaf lama. Banyak gonyoh (sental) tadi.” kata ‘Piya’.

“Oh, tak apa.” Jawab saya ringkas. Sememangnya saya tidak terkejar dengan masa. Semua urusan saya sudah pun selesai. Cuma, niat saya untuk solat Zohor berjemaah di Masjid Telipot mungkin tidak sempat. Jam sudah menunjukkan pukul 1:30 petang.

5 Sen Lebih Daripada Ayah

Sekali-sekala asap rokok pakcik itu tertampar ke muka saya ditiup angin. Seperti biasa saya cuba untuk menahan nafas supaya tidak menjadi perokok pasif.

“Anak berapa orang, pakcik?” Soal saya setelah suasana menjadi diam seketika.

“Pakcik ada lapan orang anak. Semuanya dah bekerja.” Jawab pakcik dengan nada gembira. Mungkin gembira kerana semua anaknya sudah dikira berjaya dalam didikannya. Satu perasaan yang saya juga bakal merasa nanti, insyaAllah.

“Alhamdulillah semua anak pakcik berjaya jadi ‘orang’. Hidup ini perlu ada disiplin.” sambung pakcik dengan suara yang agak perlahan. Sesekali saya tidak dapat mendengar apa yang dikatakan oleh pakcik itu. Bingit kenderaan keluar rehat waktu tengah hari mengganggu perbualan kami. Pakcik itu pula tiba-tiba merendahkan suaranya. Mungkin tidak mahu dianggap seperti mendabik dada kerana anaknya semua telah berjaya. Jurutera saja sudah dua orang. Cikgu dan pegawai kerajaan juga ada. Saya tumpang gembira dengan pencapaian pakcik itu mendidik anak.

“Pakcik tak kisah anak pakcik kerja apa, asalkan halal. Yang penting pendapatan mesti lebih 5 sen daripada pakcik.” Kata pakcik sambil memadamkan puntung rokoknya.

Walaupun bersahaja, bagi saya ianya satu kata-kata yang mempunyai motivasi. Sebagai ayah, penting untuk memastikan anak-anak mendapat pekerjaan yang baik.

10 Blogger Terbaik Malaysia

Saya cermin diri saya, kemudian saya mendongak ke langit yang pekat membiru. Terbayang wajah anak saya di celah awan yang sedikit kelabu. Saya memandang semula kepada pakcik itu yang sedang melihat kereta Myvi hitam pelanggannya.

“Terima kasih, pakcik.” Ucap saya, sekadar dalam hati.

Pakcik itu meminta izin untuk menyambung kerjanya, mengelap kereta saya. Saya sekadar melihat mereka dua beranak bekerja mencari pendapatan. Jam sudah menunjukkan pukul 1:45 petang. Tak sempat nak berjemaah di Masjid Telipot.

“Ok, Be (Bang). Siap dah.” ‘Piya’ mengejutkan saya yang sedang memandang jam tangan.

Saya hulur upahnya. Kami berbalas ucapan terima kasih. Saya memandu keluar dari kedai cuci kereta milik ‘Piya’ tanpa ada pelanggan baru yang datang. Walaupun bayarannya lebih mahal RM2 daripada tempat biasa saya mencuci kereta, namun saya amat puas hati dengan hasil cuciannya yang boleh dikatakan lebih bersih.

Bagi saya wang itu tidaklah seberapa jika hendak dibandingkan dengan mesej yang saya perolehi daripada perbualan saya dengan pakcik itu. Fahamlah saya kenapa Tuhan gerakkan hati saya untuk singgah mencuci kereta di kedainya walaupun ianya bukan di laluan pulang saya.

«
»

This Post Has 21 Comments

  1. khaidibah says:

    keje mana2 pun ok..janji halal ….hutang boleh tapi biar bepada-pada jgn sampai merana…nak bayar hutang yer dak…

  2. Nurqider says:

    Teringat aku dulu pun sampai bertekak dgn ayah sebab taknak kerja sektor kerajaan,takut benor beliau kalau2 anak dia kerja swasta,hadoi..tapi yang penting pada aku as long as you have the passion,be it working in whatever sector,and you are still contributing to the country,that particular job mould you well,then just go on…
    Entri Terbaru Nurqider » Whether it is Formula Milk or Breast Milk

  3. hafidz says:

    tak kira kerja kerajaan mahupun swasta. yang penting dalam pekerjaan perlu menjadi “orang”. :)
    Entri Terbaru hafidz » Casio Watch W-202

  4. muazfaris says:

    kerja kerajaan lebih terjamin, tp kerja swasta lebih masyuk.. fikirkan lah.
    Entri Terbaru muazfaris » Gambar Jaulah Matrouh dan Siwa (Musim Sejuk)

  5. Sharafie says:

    kerja mana² pun sama sahaja..rezeki yang Allah dah tetapkan mesti cukup untuk keperluan kita..mendalam maksud kata-kata parcik tu..
    Entri Terbaru Sharafie » Kisah Seram Misteri Puaka Rumah Sewa Seremban 2

  6. Kawe setuju dengan point yg individu yang boleh jamin hidupnya dan bukannya kerja dengan kerajaan atau swasta. Cuma usaha itu perlu dibekali dengan tawakal dan adakalanya dugaan juga perlu kita tempuh.
    Ramai yg anggap kerja kerjaan lebih terjamin basically atas sebab kurangnya berlaku perkara2 seperti pembuangan kerja dan tekanan di tempat kerja. Namun, kalau kita buat kerja dengan baik dan jujur, mana ada boss swasta yg sanggup buang kita atau tidak reward hasil kerja kita itu?
    Btw, mmg cun keta pakcik tu.. he he… Colour keta pun taste orang muda ehhh…

  7. akubiomed says:

    Kerajaan kerajaan mempunyai kelebihan dari segi jaminan mana kala swasta kalau berjawatan tinggi boleh hidup selesa. Apa yang penting adalah keberkatan.
    Entri Terbaru akubiomed » Wireless Trigger Yongnuo RF 603C tertunailah hasrat di hati

  8. donnyien says:

    menarik kisah bro dalam entry di atas… besar mana sekali gaji pun jika tidak halal tak ada berkatnya..
    Entri Terbaru donnyien » Semarakkan nilai-nilai murni setiap masa

  9. TehR says:

    setuju dengan hutang pekerja kerajaan tu
    peluang untuk buat hutang memang banyak
    bank juga sangat ‘murah hati’ nak beri hutang
    Entri Terbaru TehR » Pantun Orang Lambat

  10. hairulafiz says:

    kena tengok juga macam mana cara dia membelanjakan wang gajinya…kalau dah boros kerja swasta gaji 5 angka pun tak cukup
    Entri Terbaru hairulafiz » Jersi Johor Darul Takzim

  11. ctpayong says:

    Allah itu adil. akan Dia bagi sama rata bagi setiap usaha. yang penting “halal” kerana barakahnya berpanjangan.
    Entri Terbaru ctpayong » senang hati – part 4 : suaikenal

  12. kerja mana2 pun takpe asal halal. lgpun, kalo kerja swasta ni secara tak langsung kite menyumbang kpd pembangunan yg lbh pantas sbb duit yg kita dpt bknlah drp tax sbgmana gaji pekerja kerajaan… so, dun wori, rezeki Allah yg tentukan :)

  13. titan says:

    mana-mana kerja takpe. janji pandai carinya.
    Entri Terbaru titan » You raise me up..

Leave A Reply





CommentLuv badge