Pengalaman Tidur Dalam Stor Makanan di Mina

Ibadah HajiTinggal beberapa hari saja lagi sebelum penerbangan pertama jemaah Haji Malaysia akan berangkat ke Madinah sebelum ke Tanah Suci Makkah. Menurut Lembaga Tabung Haji dalam akhbar semalam, penerbangan pertama dijadualkan pada 17 September 2012. Bermakna, 16hb nanti para jemaah penerbangan awal sudah mula berkumpul di Kompleks Haji Kelana Jaya. Sudah hampir setahun rupanya, tapi terasa baru semalam saya dan isteri pulang dari mengerjakan ibadah Haji.

Kursus Haji Perdana seluruh negara baru saja tamat pada Sabtu dan Ahad kelmarin. Praktikal dua hari satu malam menginap di tempat-tempat yang telah ditetapkan oleh Lembaga Tabung Haji adalah untuk membiasa dan memberi gambaran kepada para jemaah tentang suasana mengerjakan ibadah Haji nanti. Ibadah Haji bukan boleh dibuat main-main. Hendak mengerjakannya perlukan persediaan yang cukup, terutamanya ilmu untuk mengerjakan Umrah dan Haji.

Masih lagi segar dalam ingatan saya pengalaman tidur satu malam dalam stor makanan di Mina. Maaflah, sepatutnya saya cerita pengalaman ini lebih awal seperti yang dijanjikan dalam entri yang lepas. Sebenarnya dah banyak draf entri yang saya karang, semuanya tak jadi untuk diterbitkan. Rasa macam ada yang tak kena. Mungkin saya telah mencemari kesucian Tanah Suci Makkah dalam draf entri yang lepas. Tidak dinafikan di Makkah banyak dugaannya, tetapi itu sebenarnya adalah ujian daripada Allah s.w.t. Allah ingin menguji sejauh mana kita boleh bertahan dengan ujianNya. Saya lebih suka menganggap ujian itu sebagai cabaran untuk melaksanakan ibadah Haji dengan baik. Daripada cabaran ini juga dapat dilihat sejauh manakah keikhlasan kita dalam mengerjakan Haji ini.

Pengalaman Tidur Dalam Stor Makanan

Mina MakkahSebaik saja kaki memijak bumi Mina setelah perjalanan beberapa minit menaiki bas dari Muzdalifah, kami ditempatkan di dalam khemah mengikut maktab yang telah disediakan. Malangnya, khemah yang ada tidak mencukupi buat beberapa orang daripada kami. Sedang pihak pengurusan travel menguruskan tempat untuk para jemaah, saya hanya menunggu di luar memberi laluan kepada jemaah-jemaah yang lebih berusia mendapatkan satu ruang untuk tidur di celah-celah jemaah yang lain. Dua tilam dikongsi tiga orang.

Dimaklumkan masalah kekurangan khemah disebabkan oleh pihak travel lain yang telah mengambil lebih daripada satu khemah pihak kami memandangkan mereka lebih dulu tiba di Mina. Sedikit pertelagahan kedengaran antara dua travel company dengan pihak pengurusan khemah di Mina. Akhirnya satu khemah berjaya didapatkan semula walaupun sebenarnya dua khemah diperlukan. Khemah tersebut diberikan kepada jemaah wanita. Maka tinggallah saya dengan beberapa yang lain di luar tanpa khemah.

Saya hanya tersenyum. Tidak ada gunanya jika saya memarahi pihak pengurusan. Walaupun saya tahu tempat saya di dalam khemah telah diambil oleh jemaah lain yang datang lebih awal secara mengelat, tidak mengikut giliran menaiki bas, saya anggap ianya satu ujian buat saya.

Saya disapa oleh Haji Lan, rakan sebilik saya semasa di hotel Madinah yang mengajak saya untuk duduk sementara di hadapan tempat pembuangan sampah dengan hanya beralaskan kotak. Wajahnya juga tenang dan hanya tersenyum menantikan ruang disediakan kepada kami oleh pihak pengurusan travel. 15 minit menunggu, tidak ada berita gembira buat kami. Malah kami seolah-olah dibiarkan saja.

Haji Lan mengangkat punggung untuk mencari tempat tidur yang lebih selesa buat kami berdua. Pakcik yang berumur 50 tahun ini begitu gigih orangnya. Walaupun pernah sebilik di Madinah, kami mula rapat ketika di Arafah. Pada malam tibanya kami di Arafah, kami luangkan masa berborak bersama-sama jemaah lain termasuklah Che Amran dari kumpulan nasyid Raihan. Haji Lan banyak berkongsi tentang hidupnya semasa bekerja di negara orang seperti Jepun, Taiwan dan terkini di Kazakhstan. Barulah saya tahu Haji Lan bukan calang-calang orangnya. Kehebatan Haji Lan disorok di sebalik sifatnya yang sangat tawaduk.

Tak lama selepas itu Haji Lan datang semula ke tempat pembuangan sampah. Dia dah jumpa tempat tidur katanya. Dia mengajak saya ke khemah stor makanan. Di situlah kami tidur untuk satu jam lebih sebelum menjelang Subuh. Mujurlah saya memakai kain ihram yang tebal, kalau tak mungkin susah nak tidur dengan sejuknya penghawa dingin yang suhunya direndahkan untuk mengekalkan kualiti makanan yang ada.

Dihalau Dari Stor Makanan

Selepas solat Subuh kami menyambung tidur semula memandangkan lebih 12 jam kami tidak tidur sejak dari Muzdalifah lagi. Sekitar pukul 9:30 pagi saya dikejutkan oleh seorang Arab yang menyuruh saya keluar dari stor makanan tersebut dengan alasan menyukarkan laluan tukang masak untuk mengambil makanan. Saya tidaklah pandai berbahasa Arab, tapi daripada gaya tangannya saya boleh faham apa yang dia maksudkan.

Beg saya diangkat oleh lelaki Arab itu lalu diletakkan di luar khemah dengan agak kasar. Saya seolah-olah seperti dihalau tuan rumah kerana tidak bayar sewa tiga bulan. Saya menoleh ke tempat Haji Lan tidur tetapi beliau tidak ada.

Saya bawa beg saya dan juga beg Haji Lan menumpang di khemah lain, khemah milik kami pada mulanya yang ‘dirampas’ oleh jemaah lain kerana sikap pentingkan diri sendiri. Kami tidaklah marah kepada mereka, anggap saja itu sudah rezeki mereka. Di Makkah, segala tutur kata dan fikiran yang tidak baik perlulah ditepis awal-awal. Jika tidak, balasan tunai akan Allah berikan. Saya pernah alaminya, secara serta-merta.

Berkat Sabar

Alhamdulillah, mungkin kerana berkat kesabaran saya mendapat tempat untuk berehat di dalam khemah menggantikan seorang Haji yang pada masa tu pulang sekejap ke Makkah. Saya keluar mencari Haji Lan, akhirnya jumpa beliau yang baru balik daripada membeli selipar. Selipar beliau hilang selepas Solat Subuh tadi. Dengan berkaki ayam beliau berjalan ke luar mencari orang yang menjual selipar. Apa yang membuatkan saya kagum dengan beliau, langsung tidak ada riak wajah marah walaupun terpaksa berjalan kaki ayam memijak jalan yang panas. Wajahnya macam biasa, tetap tenang dan senyum. Professor ini betul-betul tinggi keperibadiannya.

Sepanjang di Mina, saya dan isteri tidak mengalami sebarang masalah. Semuanya berjalan lancar walaupun ada di kalangan kami yang merungut susah untuk mendapat giliran menggunakan bilik mandi disebabkan bilik mandi yang terhad dan bilangan jemaah yang terlalu ramai. Anehnya, kepayahan itu tidak dirasai saya. Sepanjang saya ingin menggunakan bilik mandi, belum pernah saya lihat orang beratur terlalu panjang menunggu giliran. Mungkin Allah hanya turunkan kepayahan itu kepada mereka yang sering merungut.

Bila mengenang kembali pengalaman di Makkah, walaupun banyak kepayahannya namun lebih banyak ‘kesenangan’ dan ketenangan yang diperolehi. Satu nasihat saya yang juga dinasihatkan kepada saya oleh orang terdahulu yang sudah menjejakkan kaki ke Makkah, jangan celupar semasa berada di Tanah Haram, sama ada di Tanah Haram Madinah mahupun di Tanah Haram Makkah. Saya sudah mendapat balasannya akibat daripada keceluparan mulut saya. Bukan sekali, tapi tiga kali.

All pictures are credited to Google

53 thoughts on “Pengalaman Tidur Dalam Stor Makanan di Mina

  1. Tahniah diatas anugerah kesabaran olih Allah terhadap saudara di tanah suci ,dan ganjaran dari Allah tiada terhitung olih manusia. Ya Allah mudahkanlah segala urusan ku d dunia dan akhirat dan juga urusan muslimin dan muslimat mukminin dan mukminat bagi segala urusan yang Engkau ridhai Ya Allah.

  2. Alhamdulliah saudara Amirez..tak sangka kita menjadi jemputan ALLAH tahun lepas..tak sangka begitu cepat masa berlalu, rupa2nya dh ampir setahun kenangan tu..

    Mmbaca pengalaman saudara di atas membuat sya rasa bersyukur ats apa yg telah diberikan. Sya msih ingt sewaktu berada di Mina, dlm pukul 9 lalu, keadaan dlm khemah kami amat sunyi..lalu sya telah mengambil keputusan untuk keluar dari maktab sya utk melihat keadaan di sekeliling sya..sya berjln ke sana kemari melihat ragam manusia..memang betul, ada yg tidur dekat dgn pembuangan sampah , ada yg tidur bawah bus, dekat jamban dn sebagainya. Ya ALLAH, apa yg DIA berikan kepada jemaah kami adalah jauh lebih baik drpd apa yg sya lihat diluar maktab..melihat keadaan tersebut , alhamdulillah, telah menmbah rsa syukur dn pengajaran buat diri sya. Amat dikesalkan apabila ada jemaah yg merungut walhal apa yg telh disediakn itu adalah lebih baik…Mmang hati rsa tersentuh dan hiba melihat jemaah lain yg bersusah payah menyahut panggilan ALLAH..betapa kuatnya kesabaran mereka menempuh dugaan tersebut, Semoga mereka dn saudara amirez dn isteri dikurniakn haji yg mabrur..

    Rindu apabila terkenang dgn kenalan m’sia disana. Mereka sgt baik, semoga mereka sntiasa dlm rahmat dn perlindungan ALLAH jua…amin…

    • owh tak sangka kita sama2 ke Makkah tahun lepas.

      memang betul. apa yang kita dapat sepatutnya kita rasa lebih bersyukur. apa yang buruk bagi kita, tidaklah seburuk bagi jemaah lain yang lebih daif nampaknya. bukan menghina, sekadar menggambarkan betapa kita perlu bersyukur dengan apa yang ada.

      sama juga kepada saudari, semoga mendapat haji yang mabrur juga :)

  3. ayah aku sampai sekarang tak pernah cerita kesusahan dia kat sana dulu,semua baik2 je dia cerita..aku korek pun tak dapat,dia kata yelah,semua tu ujian sebab Allah sayang kat hamba2 Dia..aku sibuk nak ambil tahu bkn apa,nak buat pengajaran,tapi dia tak cerita jugak2…
    Entri Terbaru nurqider » Growing up with them (Part 2)

    • Aku faham nape ayah hg x cite pengalaman pahit kat sana. Aku sendiri pun susah nak karang entri ni, mcm ada yg menghalang. Bila niat dah set betul2, utk pengajaran dan persediaan org lain, barulah dpt tulis entri ni. Ni pun dh berapa kali buat draf tp bila nak publish x jadi.

      Lepas balik dari sana, terus rasa mcm x ada perkara pahit berlaku. Semuanya baik2 belaka. Tulah kelebihan Tanah Haram :-)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge