Rindu Tanah Suci

Khabarnya ramai rakan facebook saya dan juga blogger yang akan berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan umrah sekitar awal bulan April nanti. Salah seorang ialah Liza yang akan menunaikan umrah dalam masa tak sampai pun dua minggu dari hari ini. Tahun lepas Liza dah buat umrah, tahun ni sekali lagi dirinya dipanggil. Alhamdulillah, murah rezeki dia.

Baru tiga bulan lebih saya kat Malaysia sejak balik dari menunaikan Haji tahun lepas tapi rasanya bagai setahun dah berlalu. Dalam seminggu dua kebelakangan ni rindu saya terhadap Madinah dan Makkah mula menebal. Pernah sekali mata saya bergenang air mata kerana terlalu rindukan Masjid Nabawi. Jujur jauh dalam hati saya lebih rindukan Madinah daripada Makkah, kerana di Madinah terdapat 1001 kenangan manis yang sukar untuk saya lupakan walaupun cuma 10 hari berada di Madinah tahun lepas. Bukanlah bererti saya tidak sukakan Makkah. Siapa yang tak ingin ke Makkah, tanah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Makkah pun seronok dan penuh barakah. Solat di Masjidil Haram adalah 10,000 kali ganda banyaknya berbanding di Masjid Nabawi (1000 kali ganda pahala). Tapi jiwa saya lebih tenteram di Madinah.

Dipanggil ke Tanah Suci

Tak pernah saya terfikir dapat menunaikan Haji dalam usia belum pun menjangkau 30 tahun dan dalam keadaan yang saya rasa masih lagi hina dan kotor. Tapi Allah itu Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan Maha Penyayang. Saya dijemput ke Tanah Suci selepas setahun lebih arwah mak meninggal dunia yang sepatutnya saya menemani arwah untuk menunaikan Haji bersama-sama. Kuota arwah mak diganti oleh isteri saya yang sangat teruja nak mengerjakan Haji dalam usia muda, tapi saya tak.

Saya pernah diberitahu oleh arwah mak ada kemungkinan saya dengan arwah mak akan berpeluang menunaikan Haji pada tahun 2009. Kalau nak diikutkan tahun selepas mendaftar (daftar tahun 2005) pada masa tu, sama ada tahun 2009 atau 2010 nama kami akan naik di Tabung Haji. Masa tahun 2009 tu saya belum cukup bersedia nak mengerjakan Haji. Ilmu pun takde. Jiwa pun belum betul-betul dididik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bila arwah mak cakap kemungkinan dapat pergi Haji pada tahun tu, saya tersentak dan agak takut. Saya tak tahu pun bila arwah mak daftarkan nama saya untuk jadi mahramnya. Dalam keadaan tak sedia saya nak pergi Haji? Masa tu saya selalu baca majalah Mastika tentang kisah-kisah pelik dan balasan cash orang yang mengerjakan Haji akibat daripada dosa-dosanya yang lalu. Itu yang membuatkan saya jadi takut. Kita hanya manusia biasa yang sering melakukan dosa walaupun kecil.

Ditakdirkan arwah mak meninggal pada 31 Januari 2010. Lebih kurang empat bulan selepas tu saya menerima surat mengerjakan Haji berstatus standby daripada Tabung Haji. Saya mula terfikir, sampai bila nak hidup tanpa kesedaran? Sampai bila nak menjadi ‘remaja’ selama-lamanya? Saya pun dah berumahtangga masa tu, dan mempunyai tiga orang adik yang perlu dijaga. Pernah satu tahap saya rasa saya tak mampu memikul tanggungjawab yang sebesar ini. Tapi saya teringat satu ayat yang dipetik daripada surah Al-Baqarah berbunyi seperti berikut:

Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya. – Al-Baqarah: 286

Saya mula perlengkapkan diri dengan amalan baik dan perbaiki setiap kelemahan tanpa diketahui oleh sesiapapun termasuklah isteri saya sendiri. Pernah juga isteri saya menyuruh saya buat beberapa amalan baik seperti solat Dhuha contohnya, walhal saya sudah pun amalkan solat Dhuha sebelum kahwin lagi, cuma tidak di hadapan orang. Saya khuatir setiap amalan ikhlas saya akan bertukar riak atau paling tidak pun buat kerana disuruh. Saya juga kurang selesa apabila dipuji, jadi seboleh-bolehnya saya akan cuba elakkan daripada mendapat pujian. Sebab tu saya suka buat kebaikan di belakang orang dan terus lupakannya. Mungkin sebab itu juga dari dulu sampai sekarang saya tak pandai nak memuji orang. Hanya pandai memuji dalam hati.

Masjid Nabawi

Dipendekkan cerita, apabila kaki saya mula menjamah tanah Madinah, saya menjerit kecil ke telinga isteri saya, “Kita kat Madinah!”. Betapa seronoknya saya masa tu. Kaki yang terasa sedikit cramp duduk 8 jam dalam kapal terbang Boeing 747 pun boleh terus lupa. Suasana, udara dan perasaan di Madinah sungguh jauh nak dibandingkan dengan Malaysia. Tak dinafikan Madinah agak boring sebab tak ada hiburan seperti di Malaysia. Tapi apabila saya berada di sana, hanya satu saja niat yang timbul dalam hati….iaitu hanya untuk beribadah.

Kepada yang bakal mengerjakan umrah tak lama lagi saya harap buatlah ibadat sebanyak yang mampu sepanjang berada di sana. Manfaatkan setiap masa yang ada. Lupakan hal dunia, kerana anda bayar sekurang-kurangnya RM4500 hanya untuk beribadat di tempat paling baik di dunia.

InsyaAllah saya akan buat entri sambungan nanti.

Pictures credit to Google

19 thoughts on “Rindu Tanah Suci

  1. Allahuakbar. Entri ini benar-benar membuatkan hati saya disapa perasaan rindu. mesti fahamkan bagaimana perasaannya rindukan tanah suci ni? sekali pergi rasa berkali-kali nak pergi lagi. saya menunaikan umrah bulan februari yang lepas, setiap kali rindu memang sampai mengalirkan air mata. Allah saja yang tahu. perasaan tu seperti menekan-nekan jiwa dan buat tak sabar-sabar ke sana lagi. Setiap kali rindu saya akan ke website makkahlive.net untuk live di Masjidil Haram. semoga diberikan peluang untuk menjejakkan kaki ke tanah yang terindah di atas muka bumi ini. insyaAllah :)

    • sesiapa yang dah pernah pergi sekali mesti nak pergi lagi, kan :) dulu saya tak percaya. sekarang barulah saya tahu kenapa orang rindu sangat nak ke sana lagi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge