Secangkir Madu Pengubat Jiwa

Alhamdulillah hari ini saya semakin beransur sihat sepenuhnya. Hampir tiga hari saya demam. Baru dua minggu lepas saya demam akibat tekanan darah rendah, sekali lagi saya diuji pada minggu ini. Sakit itu memang tidak diminta sesiapa. Namun Tuhan tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia. Memang benar, hikmah sakit itu ada.

Banyak perkara dan tanggungjawab yang tertunda sepanjang saya sakit. Jika difikirkan secara satu arah, ianya seolah-olah merugikan kita. Hakikatnya Allah itu Maha Kaya dan Maha Bijaksana. Saya diberikan sakit untuk tinggalkan sementara beberapa perkara supaya dapat lakukan beberapa perkara lain yang lebih menguntungkan. Salah satunya adalah bangun pada sepertiga malam.

Sejak saya demam kerap kali juga saya terjaga sekitar pukul 2 hingga 4 pagi, sedangkan waktu itulah kebiasaan saya akan tidur pada ketika sihat. Terlalu jarang saya tidur sebelum pukul 12 tengah malam walau mata mengantuk sekalipun. Disebabkan sakit, saya selalu tidur awal antara pukul 10 hingga 12 malam. Hikmahnya, saya dapat bangun pada sepertiga malam untuk tunaikan solat sunat Tahajjud dan juga Witir yang sudah agak lama saya tinggalkan.

“Sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardu ialah sembahyang sunat malam.”

- Hadis Riwayat Muslim

Jemput Rezeki Dengan Solat Tahajjud

jemput rezeki dengan solat tahajjud

Rezeki bukan sahaja berupa sesuatu yang boleh dipegang atau dimakan. Kesihatan yang baik juga adalah salah satu rezeki daripadaNya.

Menurut pengarang Tafsir al-Quran asy-Sya’rawy, rezeki adalah apa sahaja yang memberi manfaat kepada seseorang. Jika nikmat sihat kita ditarik, bererti tiada rezeki sihat bagi diri kita. Sekaligus, usaha kita mencari rezeki lain juga akan terbantut.

Apabila sakit, kita tiada selera menikmati makanan yang lazat. Apabila sakit, tiada keceriaan terpampar di wajah. Apabila sakit, tiada lagi anggota yang kuat melainkan lidah menyebut-nyebut nama Allah.

Baru-baru ini saya terbaca satu petikan daripada Facebook tentang sakit. Ianya berbunyi begini:

“Apabila seorang hamba Allah jatuh sakit, Allah akan utuskan 4 malaikat kepadanya:

  1. Malaikat Pertama akan mengambil SELERA MAKANNYA
  2. Malaikat Kedua akan mengambil REZEKINYA
  3. Malaikat Ketiga akan mengambil KECANTIKAN WAJAHNYA (pucat)
  4. Malaikat Keempat akan mengambil DOSANYA

Apabila telah sampai waktu yang telah Allah tetapkan untuk hambaNya kembali sihat, Allah akan menyuruh Malaikat Pertama, Malaikat Kedua dan Malaikat Ketiga supaya memberi balik apa yang telah diambil oleh mereka. Akan tetapi Allah tidak menyuruh Malaikat Keempat memberi balik dosa hambaNya tersebut.

Subhanallah, betapa Maha Mulia dan Baik Hatinya Allah terhadap kita. Janganlah bersangka buruk terhadap Allah ketika sakit, bersyukurlah dan ucaplah Alhamdulillah ke atasNya. Sesungguhnya setiap kesakitan itu adalah penghapus segala dosa.

Saya mendapat petikan ini pada ketika saya sedang sakit. Kebetulan? Saya rasa tidak. Ianya telah ditentukan oleh Allah untuk saya memahaminya. Tiada istilah ‘kebetulan’ dalam dunia ini. Semuanya telah ditentukan oleh Allah di Lauh (Luh) Mahfuz.

Jelas sekali apabila kita jatuh sakit segala bentuk rezeki ditarik balik. Jadi boleh dikatakan sihat itu adalah rezeki yang paling besar sekali.

Kaitan rezeki dengan solat sunat Tahajjud

Sekitar pukul 2:30 pagi tadi saya terjaga dari tidur kerana sesak nafas menahan kahak dalam tekak. Dada saya juga terasa dipenuhi dengan kahak. Tidak selesa tidur dibuatnya. Saya berpusing ke kanan ke kiri mencari posisi yang selesa untuk bernafas. Ditambah pula dengan hidung yang tersumbat membuatkan saya kurang selesa sekadar bernafas melalui mulut. Hampir satu jam saya bertarung dengan kesihatan diri sendiri.

Akhirnya saya bangun. Terlintas di fikiran saya akan niat bangun untuk tunaikan solat sunat Tahajjud sebelum tidur tadi. Mungkin itulah sebabnya saya tidak dapat menyambung semula lena saya. Saya segera ke bilik air mengambil wuduk untuk tunaikan solat sunat Tahajjud dua rakaat, disusuli dengan solat sunat Witir tiga rakaat. Kemudian berzikir dan berdoa sebagai penutup amalan malam.

Secara serta-merta saya rasakan kepala saya ringan. Tidak lagi sakit yang mencucuk-cucuk seperti sebelumnya. Badan saya juga kembali bertenaga. Alhamdulillah. Ternyata, rezeki sihat tubuh badan dapat dijemput melalui solat sunat Tahajjud. Ini hanyalah sebahagian kecil kelebihannya. Saya yakin jika diamalkan selalu akan peroleh lebih besar ganjarannya.

Dengan badan yang kembali sihat walaupun tekak masih lagi kurang selesa dengan kahak dan juga sedikit selsema, selepas menghantar ‘Iffah ke rumah pengasuh saya ke Kota Bharu untuk uruskan beberapa perkara penting yang tertangguh sebelum ini, terutamanya tentang hal pusaka arwah mak dan ayah saya yang masih lagi belum selesai. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dalam keadaan cuaca yang mendung.

I’tikaf di Masjid

iktikaf

Selesai semua perkara saya singgah di Masjid Telipot menantikan waktu Zohor. Jam baru menunjukkan pukul 12:45 tengah hari. Termasuk saya hanya tiga orang saja yang sedang menunaikan solat sunat selain daripada tok siak dan anak-anaknya yang sedang membersihkan karpet ruang solat. Masa yang ada diisi dengan zikir.

Sambil mata terpejam saya teringat pengalaman menunaikan Haji tahun 2011 yang lalu. Hampir setiap masa saya akan tiba satu atau dua jam lebih awal sebelum masuknya waktu solat untuk beri’tikaf. Jiwa rasa sungguh tenang berada di dalam masjid yang menjanjikan berlipat kali ganda ganjarannya berbanding masjid-masjid lain di dunia.

Masa yang ada juga digunakan untuk mengkhatam al-Quran. Entah dari mana datangnya kelancaran membaca al-Quran hingga boleh khatam sekali dalam 10 hari di Masjid Nabawi dan 15 hari di Masjidil Haram. Sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam hidup saya sebelum itu yang kebiasaannya membaca al-Quran dengan sedikit terkejar-kejar teringatkan perkara-perkara duniawi. Jika ada rezeki insyaAllah dengan besar hati ingin ke sana lagi.

Lamunan jauh saya ke Arab Saudi dikejutkan dengan suhu ruang solat yang semakin turun dan kemasukan ramai jemaah ke tempat masing-masing menantikan laungan azan Zohor.

Permulaan Baru

permulaan baru

Mungkin ini satu permulaan baru buat diri saya yang semakin jarang ke masjid. Semasa zaman persekolahan hingga universiti dulu hati ini tidak akan tenteram jika sehari tidak ke rumah Allah. Rasa seolah-olah solat tidak sempurna (memang ya) jika solat seorang diri di dalam bilik. Pada awalnya saya menyalahkan keadaan sekeliling yang menjarakkan hati saya dengan masjid, hakikat sebenar adalah kemahuan iman kita sendiri.

Diharap dengan secangkir madu ini dapat menjadi pengubat jiwa yang makin sepi dan layu ini. Sangatlah rugi mensia-siakan usia muda yang ada dengan pengisian yang tidak menguntungkan rohani sedangkan ajal sesaat pun tidak pernah menjauhi kita, malah ianya semakin hampir detik demi detik.

«
»

This Post Has 13 Comments

  1. akubiomed says:

    Harap kesihatan bro semakin pulih.
    Entri Terbaru akubiomed » Sudah cukup sudah dengan spammer

  2. nazray says:

    hm, rasanya bila kita sakit, diri kita akan dekat dengan penciptanya, jadi dapatlah kita meningkatkan iman. Allah tarik balik dosa kita. tanpa memulangkannya balik. Terima kasih Allah maha besar :D . Semoga bro cepat sembuh.
    Entri Terbaru nazray » Evasi0n | Perisian untuk untethered jailbreak iOS 6.0 dan 6.1

  3. fiezaradzi says:

    inshaa Allah, moga perubahan ini membawa sinar yang terbaik utk amirez dan kita semua.. ameen..

    pun kdg2 terjaga waktu2 macam tu..kdg2 sebab anak bangun minum susu. tu pun salah satu tanda kena bangun tahajjud tu.. hee
    Entri Terbaru fiezaradzi » Khalifah Pertama

  4. donnyien says:

    bagus petua ni bro.. baru sembuh dari batuk banyak makan durian haritu =D
    Entri Terbaru donnyien » Kegembiraan berganda seorang penulis blog

  5. Nurqider says:

    Tahajjud memang penawar penyakit..zahir dan batin insyaAllah..orang selalu abaikan kesihatan sehinggalah mereka sakit..alhamdulillah dah sembuh hg
    Entri Terbaru Nurqider » Sketsa Tanpa Kata Anak-anak (Part 2)

  6. TehR says:

    aku juga sedang dalam musim batuk sekarang
    nampaknya perlu untuk aku minum madu

    entri ini sangat bagus untuk aku muhasabah diri
    Entri Terbaru TehR » Piala Negara-Negara Afrika 2013 | Suku Akhir

  7. titan says:

    kalau batuk, kahak..banyakkan minum madu. :)
    petua sape ntah yang aku baca. Tapi alhamdulillah..ok sket setelah menjadi pembatuk tegar setiap tahun 2,3 kali..
    Entri Terbaru titan » Gua kena tangkap lagi..

Leave A Reply





CommentLuv badge