Ikutlah resmi padi; makin berisi makin tunduk.
Aku masih ingat lagi arwah abah pernah terangkan maksud ungkapan di atas. Tapi waktu itu aku masih hingusan, darjah 5 rasanya. Cikgu berikan perkataan ‘resmi’ untuk dicari maknanya. Lalu aku bertanya abah. Arwah abah jelaskan kepadaku hinggalah aku betul² faham akan perbezaan antara perkataan ‘resmi’ dan ‘rasmi’. Kisah lama.
Ungkapan resmi padi tersebut diwujudkan atas tujuan supaya orang yang makin berilmu akan lebih merendah diri. Ramai juga yang aku jumpa bersikap begitu. Baguslah. Tapi ada satu perkara yang membuatkan aku berfikir.
Ada orang yang mempunyai ilmu akan sesuatu, tapi tidak disedari orang lain. Orang itu sedia untuk membantu tapi tidak ingin dikatakan seperti ingin menunjuk². Pengetahuannya disembunyikan kerana sifat merendah diri seperti yang diungkapkan si padi. Dia memilih untuk diam hingga diminta pertolongannya. Itupun jika diminta. Kalau tak?
Diam tidak bererti bisu. Diam tidak bermaksud sombong. Diam bukan bermakna tidak tahu. Tapi diam kerana berfikir.
Jadi persoalan di sini, apakah cara terbaik untuk menunjukkan kelebihan diri tanpa dianggap sebagai menunjuk² atau berlagak pandai? Mari kita berkongsi dan berbincang.

